27 SEPT : Puluhan ribu penduduk di pantai Timur India dipindahkan ke tempat perlindungan apabila Taufan Gulab membadai daratan antara negeri-negeri pesisir Odisha dan Andhra Pradesh tepat dengan tiupan angin hingga 95 kilometer sejam (km/j).
Ekoran itu, pihak berkuasa Odisha dan Andhra Pradesh memerintahkan penduduk yang tinggal di sepanjang pantai untuk berpindah dan ratusan petugas kecemasan dihantar ke wilayah terbabit.
Dianggarkan kira-kira 85,000 keluarga akan dipindahkan dari kawasan rendah ke tempat perlindungan sementara di negeri itu.
Laporan awal berhubung Taufan Gulab yang melanda itu menyebabkan banyak pokok yang tercabut ketika ia membadai sebuah daerah di Andhra Pradesh.
Jabatan Meteorologi India berkata, beberapa daerah yang dilanda taufan tersebut juga berisiko mengalami banjir kilat.
Ribut taufan adalah ancaman biasa di utara Lautan Hindi tetapi ramai saintis berpendapat ia menjadi lebih kerap dan teruk kerana perubahan iklim yang menghangatkan suhu laut.
Pada Mei lalu lebih sejuta orang dipindahkan dari kediaman mereka di sepanjang Pantai Timur India yang dilanda Taufan Yaas, dengan angin bertiup hingga 155km/j – setara dengan taufan kategori dua.