27 SEPT: Mesir akan mengenakan cukai kepada pencipta kandungan media sosial seperti YouTuber dan blogger selepas ramai penduduknya menjana pendapatan lumayan menerusi platform itu.
Pihak berkuasa cukai berkata, mereka yang memperoleh pendapatan tahunan melebihi 500,000 pound Mesir (RM133,247) akan dikenakan cukai.
Bagaimanapun, pengguna media sosial itu tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
Mesir mempunyai penduduk melebihi 100 juta orang, manakala kadar penebusan internet ialah sebanyak 60 peratus, menurut perangkaan rasmi.
Seorang penduduk menyatakan tindakan itu akan menyebabkan pencipta kandungan membuat keputusan untuk meninggalkan Mesir.
“Malangnya, penjual sayuran dikenakan cukai, jadi kita juga boleh mencukai golongan kaya,” kata seorang penduduk di Mesir yang membuat ciapan di Twitter.
Menurut seorang pengguna Twitter, jika kerajaan mahu mengenakan cukai ke atas penggiat YouTube, perkhidmatan internet perlu ditambah baik dan pakej terhad gigabait perlu dihapuskan.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pihak berkuasa cukai, Mohamed al-Gayyar cuba untuk meredakan kemarahan penduduk ekoran pengumuman itu semalam.
Beliau berkata, penduduk yang membuat keuntungan di Mesir perlu dicukai tanpa mengira bidang pekerjaan mereka.
Dalam satu lagi wawancara dengan sebuah stesen televisyen swasta, Mohamed Keshk berkata, sesiapa yang gagal mematuhi peraturan baharu itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun.
Seorang pengacara televisyen, Amr Adib pula mempersoalkan pelaksanaan cukai ke atas penggiat YouTube dan blogger itu.
“Berapa ramaikah blogger di luar sana?” soalnya.
“Kementerian Kewangan tahu terdapat berjuta-juta orang yang tidak membayar cukai secara adil,” katanya. – Agensi