28 SEPT: Sebanyak 13 bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah diubah suai sebagai penjara satelit (PS), untuk penempatan banduan yang baru untuk tujuan pengasingan sebelum dimasukkan ke penjara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata penjara sementara berkenaan telah diwartakan di bawah Seksyen 3, Akta Penjara 1995 dan sebagai ‘Admission Prison’.
Ismail berkata tindakan berkenaan perlu kerana statistik Jabatan Penjara sehingga 25 Ogos 2021, menunjukkan jumlah keseluruhan banduan di Penjara adalah seramai 69,507 orang, yang mana telah melebihi kapasiti sebenar (61,242) iaitu sebanyak 13.50% (8,265 orang).
Berikutan itu, Jabatan Penjara melalui Kementerian Dalam Negeri telah mengambil beberapa tindakan bagi mengurangkan kesesakan dan tindakan berkenaan turut berkaitan dengan langkah mengurangkan penularan wabak COVID-19 di seluruh institusi penjara.
“Antaranya adalah dengan melakukan pemindahan banduan dari satu penjara ke lain-lain penjara yang tidak sesak.
“Jabatan Penjara Malaysia dengan sokongan Kementerian Dalam Negeri telah mewujudkan beberapa penjara sementara.
“Sebanyak 13 bekas Kem PLKN telah diubahsuai sebagai PS untuk penempatan banduan yang baru untuk tujuan pengasingan sebelum dimasukkan ke penjara dan diwartakan di bawah Seksyen 3, Akta Penjara 1995 dan sebagai Admission Prison,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen di sini, sebentar tadi.
Ismail berkata demikian menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PAS-Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang meminta KDN menyatakan rancangan kementerian untuk menyelesaikan masalah kesesakan penjara pada waktu ini berikutan penularan jangkitan yang pantas di kalangan banduan terutamanya jangkitan COVID-19.
Mengulas lanjut, Ismail berkata Jabatan Penjara juga mewujudkan Pusat Transit Penerimaan (PTP) di institusi penjara bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan banduan.
Beliau berkata langkah berkenaan juga dapat mengurangkan kesesakan, untuk menempatkan banduan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minima dengan mengambilkira keperluan pengasingan berdasarkan tarikh kemasukan.
“Selaras dengan halatuju Jabatan Penjara Malaysia iaitu 2/3 banduan sabitan yang layak akan menjalani pemulihan di luar tembok penjara atau Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), sebagai langkah mengurangkan kesesakan.
“Antaranya ialah dengan melaksanakan pelepasan secara perintah parol, perintah kehadiran wajib, pelepasan awal 14 hari (keistimewaan bagi banduan peringkat Khas).
“Jabatan Penjara juga melaksanakan, program reintegrasi penghuni industri, program ‘Corporate Smart Internship’, pelepasan banduan secara Lesen (PBSL), dan mewujudkan pusat pemulihan pemasyarakatan/Program Reintegrasi Penghuni dan rumah perantaraan bagi mengurangkan kesesakan banduan di penjara terpilih di seluruh negara,” katanya