28 SEPT: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary tampil memohon maaf hari ini berhubung klip video kenderaan miliknya yang dipandu secara berbahaya.
“Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul.
“Sebagai seorang insan yang tidak sempurna, saya mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan dan menjadikan ia sebagai penambahbaikan buat saya dan kakitangan saya.
“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Setakat ini, katanya, polis masih menyiasat insiden tersebut dan kakitangannya yang terlibat sudah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Semalam, polis mengesan satu rakaman yang tular di laman sesawang Facebook ‘Ana Tahu’ bertajuk ‘P** macam pernah tengok, nak terkencing barangkali sampai ‘double line’ pun potong’.
Rakaman video berdurasi 38 saat itu memaparkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan nombor pendaftaran P** yang memotong kenderaan di hadapannya di garisan berkembar secara berbahaya.
Ketika memotong, ada kenderaan lain di atas jalan raya tersebut yang datang dari arah bertentangan dari Jalan Bukit Marak-Binjai berdekatan jambatan sebelum lampu isyarat Cabang Tiga Gong Dermin.
polis Kelantan mengesahkan membuka siasatan terhadap Toyota Alphard berwarna hitam milik seorang timbalan menteri yang didakwa melanggar peraturan jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Suhaimi Jusoh dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung dakwaan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ia susulan satu klip video memaparkan kenderaan bernombor pendaftaran P45 memotong kenderaan di garisan berkembar, walaupun terdapat kenderaan lain dari arah bertentangan di Jalan Bukit Marak-Binjai, dekat Kota Bharu.