28 SEPT: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kebocoran data peribadi awam yang didakwa berlaku di Jabatan Pendaftaran Negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Mat Din berkata, laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Pengarah JPN di Balai Polis Percint 7, Putrajaya semalam.
“Untuk makluman kita telah menerima satu laporan polis daripada JPN dan kita telah membuka kertas siasatan hari ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 bagi menyiasat lanjut dan mengesahkan berlaku penggodaman atau tidak.
“Kita akan siasat sistem JPN dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenal pasti di mana kebocoran data awam itu berlaku,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur hari ini.
Hari ini sebuah portal berita melaporkan pangkalan data dikatakan dimiliki JPN dijual di sebuah forum pangkalan data terkenal.
Laporan itu mendakwa, individu yang menawarkan pangkalan data itu menyatakan ia mengandungi empat juta data diperoleh daripada laman sesawang milik LHDN melalui API yang dibuat untuk myIDENTITY.
Menurut laporan itu, myIDENTITY adalah platform perkongsian data nasional untuk sektor awam yang membolehkan agensi kerajaan memperoleh maklumat peribadi seseorang melalui satu simpanan berpusat, yang kini digunakan 10 agensi termasuk JPN dan LHDN.
Menurut Kamarudin, pihaknya akan mendapatkan laporan pasukan bahagian Teknologi Maklumat JPN dan akan melakukan perbincangan untuk mencari punca kebocoran data dan akan diperhalusi dalam semua aspek.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan penglibatan orang dalam berhubung insiden pembocoran dan penjualan data tersebut seperti tular di media sosial akhir-akhir ini.
Beliau akan mewujudkan pasukan sendiri untuk menyiasat jenayah siber berkenaan membabitkan data peribadi awam JPN dan akan mendapatkan kerjasama daripada semua puhak antaranya Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.