28 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambah bilangan jumlah pakar perubatan di hospital kerajaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan berkenaan perlu kerana sehingga 30 Jun lalu, terdapat seramai 6,012 orang pakar perubatan berkhidmat di KKM termasuk 5,993 adalah pakar perubatan lantikan tetap manakala 19 lagi adalah pakar perubatan kontrak.
Berikutan itu, Dr Noor Azmi berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menambah jumlah pakar perubatan di KKM, termasuklah dengan meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk membolehkan lebih ramai Pegawai Perubatan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kepakaran.
“Dalam hal ini, sebanyak 1,300 slot telah diperuntukkan pada tahun 2021; selain program Sarjana Kepakaran dengan HLP, Pegawai Perubatan juga boleh mengikuti pengajian kepakaran melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway.
“Melalui program ini, seramai 189 Pegawai Perubatan telah berjaya menjadi Pakar Perubatan pada tahun 2020 berbanding hanya 98 orang pada tahun 2011,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen di sini, sebentar tadi.
Dr Noor Azmi berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen BEBAS-Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang meminta menteri berkenaan menyatakan langkah yang diambil untuk mengatasi kekurangan pakar perubatan di hospital kerajaan serta tindakan yang diambil untuk menilai serta menyerap pakar perubatan yang sedang bekerja sebagai pekerja kontrak di hospital kerajaan.
Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata kementerian juga melantik semula secara kontrak Pegawai Perubatan Pakar warganegara Malaysia yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan KKM.
Beliau berkata KKM juga mendapatkan perkhidmatan kepakaran daripada pihak swasta menerusi penyampaian perkhidmatan dan penyumberluaran (outsourcing).
“Berhubung Pakar Perubatan kontrak yang berkhidmat dengan KKM, mereka boleh ditawarkan pelantikan tetap tertakluk kepada kekosongan jawatan dan kelulusan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI