28 SEPT : Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden kemalangan lori jenis tipper dengan lima kenderaan awam yang lain di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 6 September lalu.
Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mengambil kira kepentingan awam dan berdasarkan laporan siasatan, pihaknya memutuskan untuk menggantung Lesen Pengendali syarikat CBSB Transport Sdn Bhd, pemegang lesen lori tersebut selama tiga bulan.
“Berdasarkan siasatan ‘JPJ Inspection & safety Audit’ (JISA) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) maka keputusan menggantung lesen itu dibuat sehinggalah syarikat memenuhi keperluan Tata amalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) sepenuhnya.
“Tindakan ini diambil selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2020 (Akta 715) di mana, syarikat telah gagal melaksanakan ICOP tanpa sebab yang munasabah yang merupakan satu pelanggaran serius terhadap syarat lesen, serta melibatkan risiko keselamatan kepada pemandu, pengguna jalan raya dan juga orang awam,” tegas Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi. MOT sememangnya sentiasa memandang serius isu berkaitan keselamatan kenderaan pengangkutan awam dan sesekali tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan berkaitan pematuhan permit dan lesen oleh pengendali.
Semoga tindakan ini menurut beliau dapat memberi pengajaran kepada pengendali terlibat serta peringatan kepada keseluruhan industri pengangkutan awam dan perdagangan secara amnya.