28 SEPT : Pelaksanaan peraturan ekuiti bumiputera untuk syarikat tempatan yang menceburi Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) ditangguh sehingga akhir 2022, bagi membolehkan unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk terus menilai dasar itu.
Perkara tersebut disahkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.
Peraturan itu dijadual berkuat kuasa menjelang akhir tahun ini, bagaimanapun mencetuskan kebimbangan beberapa pihak, antaranya Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF).
FMFF berkata, pihaknya tiada masalah dengan pemilikan ekuiti oleh bumiputera tetapi sukar untuk mencari syarikat bumiputera yang mahu membeli pegangan mereka pada masa ini.
Ini termasuk meletakkan syarikat yang terlibat dalam IILS dalam keadaan sukar kerana peraturan sama tidak terpakai terhadap syarikat luar.
Anthony Loke (PH-Seremban) hari ini berkata, langkah kerajaan berhubung ekuiti bumiputera sebelum ini telah membawa kepada penubuhan syarikat “Ali Baba, yang pada luarannya adalah milik bumiputera, tetapi sebenarnya dimiliki golongan bukan bumiputera.
Sehubungan itu, ada keperluan untuk menilai semula dasar itu agar adil kepada semua pihak termasuk golongan bumiputera, selaras dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang dibawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Loke.
Isu ekuiti bumiputera kembali diperkatakan apabila Perdana Menteri memaklumkan pemilikan ekuiti korporat oleh bumiputera sehingga 2019 adalah sebanyak 17.2 peratus, dengan bukan bumiputera memiliki 25 peratus sementara 45.5 peratus dipegang oleh entiti asing dan 12.3 peratus adalah ‘saham nominee’.
Rancangan Malaysia ke-12 yang dibentang semalam antara lain akan membolehkan penjualan saham atau syarikat bumiputera hanya ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera lain.