28 SEPT: Malaysia mengekalkan momentum positif perdagangan bulan lalu apabila eksport berkembang 18.4 peratus kepada RM95.59 bilion.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pertumbuhan eksport pada Ogos 2021 disumbangkan oleh permintaan luar yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) disebabkan oleh kenaikan eksport semikonduktor serta kimia dan bahan kimia.
“Bagi lapan bulan pertama 2021, perdagangan berkembang 22.9 peratus kepada RM1.407 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Dalam tempoh ini, eksport meningkat sebanyak 24.9 peratus kepada RM778.49 bilion, pertumbuhan terpantas direkodkan sejak 1998.
“Import naik 20.4 peratus kepada RM628.29 bilion dan lebihan dagangan melonjak 48.2 peratus kepada RM150.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, eksport ke semua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan positif.
Secara keseluruhan, perdagangan Malaysia meningkat 15.7 peratus kepada RM169.79 bilion berbanding Ogos 2020, pertumbuhan dua angka yang ke tujuh bulan berturut- turut direkodkan sejak Februari 2021.
Import pula meningkat 12.5 peratus kepada RM74.2 bilion manakala lebihan dagangan naik sebanyak 44.7 peratus kepada RM21.39 bilion.
Pada Ogos 2021, eksport barangan perkilangan merangkumi 84.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, mencatatkan pertumbuhan 15.4 peratus tahun ke tahun kepada RM80.83 bilion.
Sementara itu, eksport keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan logam serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit mencatatkan kenaikan melebihi RM1 bilion.
Eksport keluaran pertanian pula berkembang 28.5 peratus kepada RM7.34 bilion berbanding Ogos 2020, pertumbuhan dua angka yang keenam bulan berturut-turut direkodkan sejak Mac 2021.
Ini disokong khususnya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Dalam pada itu, eksport hasil galian melonjak 50.6 peratus tahun ke tahun kepada RM7.05 bilion, pertumbuhan dua angka yang kelima bulan berturut-turut sejak April 2021.
Peningkatan ini disokong oleh kenaikan eksport gas asli cecair (LNG) yang meningkat sebanyak RM1.86 bilion.