28 SEPT: Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) tidak pernah membelanjakan wang sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku RMKe-12 seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata perancangan pembangunan negara untuk lima tahun ini disediakan oleh pegawai UPE JPM di bawah selianya dan hasil input daripada libat urus dengan pelbagai pihak.
“Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melibatkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media.
“Saya berharap Datuk Seri Anwar dapat memperbetulkan kenyataan beliau bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE JPM dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan dibuat oleh Anwar yang juga Presiden PKR ketika membahaskan RMKe-12 di Dewan Rakyat hari ini.