29 SEPT: Kerajaan perlu mempertimbangkan bagi membangunkan sekolah wawasan bagi kegunaan semua kaum sekali gus menjadikan institusi pendidikan tersebut sebagai pemangkin perpaduan.
Ahli Parlimen BERSATU Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, ini perlu demi menyediakan medium kepada anak-anak Malaysia yang mampu dijadikan tulang belakang bagi keutuhan semua bangsa di negara ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, golongan individu yang jatuh miskin akibat kesan pandemik COVID-19 perlu diberikan fokus oleh kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi kelangsungan kehidupan mereka.
“Saya ingin melafazkan setinggi-tinggi penghargan kepada Perdana Menteri dalam memberi fokus kepada Sabah dan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Saya juga mengalu-alukan dana pembangunan buat Sabah dan Sarawak dalam RMKe-12.
“Di samping komited Perdana Menteri dalam menyelesaikan permasalahan dan tuntutan serta tunggakan menerusi MA63 demi kesejahteraan rakyat di Malaysia.
“Penekanan Sabah dan Sarawak menerusi RMKe-12 ini adalah selari aspirasi rakyat yang mahu perkembangan positif dan menikmati kemakmuran bersama di samping menekankan pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur asas Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membahaskan RMKe-12 di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Zakaria turut menyarankan agar kerajaan dapat mempertimbangkan menyediakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) buat golongan B40 demi kesejahteraan mereka di samping perlunya bantuan baik pulih bagi golongan miskin yang sangat memerlukan.
“Saya sambut baik agenda perumahan yang menjadi antara fokus utama saya yang telah diajukan kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik projek PPR, PRIMA dan perumahan Penjawat Awam Malaysia dapat diperkasakan serta ditambah baik.
Sementara itu, beliau juga menyarakan agar kerajaan memberi fokus kepada penambahbaikan dari segi infrastruktur telekomunikasi di kawasan pedalaman Sabah yang boleh memanfaatkan sekolah-sekolah di negeri itu menjadi tempat untuk anak-anak mendapatkan ilmu secara atas talian tanpa ada sekatan.
“Saya juga ingin memohon kerajaan agar dapat membina klinik desa demi kesenangan rakyat untuk mendapatkan kemudahan kesihatan. Dalam konteks perkhidmatan, kerajaan juga perlu menyediakan fasiliti kemudahan perbankan di kawasan-kawasan pendalaman yang memerlukan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH