29 SEPT: Jabatan Peguam Negara (AG) mengesahkan menerima kertas siasatan kehilangan barang kes berupa wang AS$6.94 juta (RM29 juta) daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Kertas siasatan itu diterima Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara daripada pihak SPRM, semalam.
“Bahagian ini akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan sama ada untuk membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 20 September lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
Dua hari kemudian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataannya menyatakan polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan isu berkenaan.
Pihak polis juga turut menyiasat seorang suspek kes itu bagi dua kes berasingan iaitu memiliki dadah dan senjata api serta peluru dan bukannya kes kecurian barang kes bernilai AS$6.94 juta itu.