29 SEPT : Sudah tiba masanya kerajaan membina sebuah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Negeri Sarawak dalam usaha menjaga kesejahteraan terbaik dua golongan tersebut.
Ahli Parlimen GPS Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, pembinaan hospital berkenaan amat penting dan perlu memandangkan hospital untuk dua golongan tersebut hanya terdapat di tanah semenanjung dan juga Sabah.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan kesihatan itu akan dapat memberikan perkhidmatan perbidanan sakit puan dan kanak-kanak secara menyeluruh secara berkualiti.
“Selain itu, bilangan kemudahan hospital dan kakitangan pegawai perubatan di Sarawak perlu dipertingkatkan secara agresif berdasarkan kadar peningkatan populasi.
“Setakat ini, masih terdapat 20 daerah Sarawak belum mempunyai klinik dan hospital. Diharap Kementerian Kesihatan (KKM) perlu melaksanakan dan meluluskan cadangan Negeri Sarawak bagi pembinaan hospital baharu, 76 katil ke bawah khususnya di kawasan pendalaman.
“Diharapkan Rancangan Malaysia Ke 12 (RMKe-12) dapat menaik taraf hospital dan klinik-klinik uzur serta daif yang ada di negeri Sarawak,” katanya ketika membahaskan RMKe-12 di persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Rubiah Wang memaklumkan, pembangunan di bawah RMKe-12 perlu dinilai semula memandangkan banyak projek atau program yang diluluskan merupakan projek sambungan daripada RMKe-11.
“Kurangnya projek-projek baharu yang ketara khususnya di dua wilayah Sarawak dan Sabah namun saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah memberi peruntukan tinggi kepada Sarawak dan Sabah dalam RMKe-12 menerusi rancangan rolling plan yang pertama.
“Ini kita mahukan dan perkasakan selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) iaitu tumpuan ke arah membangunkan dan menyamaratakan pembangunan di negeri-negeri yang kurang membangun khususnya di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan semangat perjanjian MA63 perlu dilihat sebaiknya kerana rakyat di dua negeri itu sudah mula menyedari tuntutan 20 perkara berkaitan hak-hak keistimewaan Sabah dan Sarawak yang perlu dituntut dan dipenuhi sewajarnya oleh kerajaan persekutuan.
“Saya harap kerajaan terus melaksanakan pembayaran cukai jualan petroleum kepada Sarawak seperti dilunaskan pada tahun lepas iaitu sebanyak RM2.96 bilion.
“Bayaran cukai itu tentunya merupakan pengiktirafan hak-hak keistimewaan oleh Sarawak khususnya soal cukai pendapatan negeri berkenaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH