29 SEPT: Penularan pandemik COVID-19 di negara ini memasuki fasa baharu apabila buat kali pertamanya tiada lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, dalam kenyataan hari ini hanya memaklumkan berkaitan penamatan PKPD satu lokaliti di Pahang iaitu PKPD Kampung Paya Mengkuang, Sanggang di Temerloh.
“PKPD Kampung Paya Mengkuang yang dilaksanakan sejak 17 September lalu akan ditamatkan esok (30 September), seperti yang dijadualkan.
“Keputusan itu selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai situasi semasa, maka PKPD di lokaliti terbabit ditamatkan mengikut jadual,” katanya.
Selain itu, Rodzi berkata, kerajaan hari ini juga mengumumkan tiada sebarang pelanjutan tempoh PKPD membabitkan mana-mana lokaliti yang sedang dikenakan perintah itu.