29 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mendapatkan fakta terperinci berhubung dakwaan kesan sampingan pemberian vaksin terhadap golongan remaja.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya memandang serius terhadap setiap isu seperti dibangkitkan di dalam video tular yang mendakwa pelajar meninggal dunia dan mengalami kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) serius selepas vaksinasi COVID-19.
“KKM akan memberikan respons berkenaan perkara ini dalam masa yang terdekat.
“Semua pihak diminta bertenang dan tidak menimbulkan kebimbangan awam, sementara kementerian meneliti perkara tersebut,” ciapnya menerusi Twitter hari ini.
Sebelum ini tular satu video berdurasi 1.40 minit di media sosial memaparkan seorang wanita mendedahkan berlaku kes kematian membabitkan remaja sekolah di beberapa negeri selepas menerima vaksin COVID-19.