29 SEPT: Usaha bagi meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen merupakan tanggungjawab asas semua parti-parti politik di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, selain itu ia juga bergantung kepada persediaan dan persekitaran di samping sokongan serta penglibatan wanita secara podukif.
Menurut beliau, ia perlu dimulakan dari memupuk minat wanita terhadap politik dan mengatasi isu diskriminasi yang menghalang wanita untuk berkecimpung dalam kepimpinan politik.
“Kementerian juga berpandangan program kepekaan gender perlu memainkan peranan dalam memberi kefahaman menghapuskan segala bentuk pandangan negatif serta kepentingan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pentadbiran negara.
“Oleh itu, kementerian telah melaksanakan pelbagai program sehingga Ogos 2021 ini di mana 95,182 peserta serta 178 program untuk merealisasikan pemerkasaan wanita,” katanya ketika menjawab pertanyaan soalan-soalan lisan di persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH Merbok, Nor Azrina Surip berhubung usaha drastik yang dilakukan oleh pihak Kementerian untuk meningkatkan perwakilan wanita di Parlimen serta perancangan jangka panjang secara sistematik untuk memastikan sasaran minimum 30 peratus dilaksanakan.
Nor Azrina turut mengajukan soalan tambahan, apakah kerajaan bercadang untuk meminda undang-undang pilihanraya terhadap parti politik yang tidak mencapai peratusan calon wanita yang dibenarkan masuk bertanding, Siti Zailah memaklumkan pihaknya akan menyokong sekiranya usaha itu akan meningkatkan peranan wanita dalam pentadbiran negara.
“Dalam hal ini, parti-parti politik perlu mengalas dan memain peranan penting untuk melatih dan memberi peluang ahli politik wanita menyumbang bakti sebagai pembela nasib rakyat.
“Kita memahami parti-parti politik bukan meletakkan calon semata-mata bertanding dan bukan sekadar memenuhi kuota, namun saya harap ada usaha-usaha meningkatkan peranan wanita di semua peringkat termasuk penggubalan polisi dan semua pihak khususnya parti politik harus memberi sokongan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH