29 SEPT: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan dalam video tular bahawa dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, Ipoh meninggal dunia akibat suntikan vaksin COVID-19.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima dua laporan polis hari ini berhubung perkara itu masing-masing dibuat oleh Pegawai Pendidikan (Kesihatan) Daerah Ipoh dan pengetua sekolah berkenaan.
“Laporan ini antara lain berkaitan ketidakpuasan hati terhadap dakwaan kematian dua pelajar sekolah berkenaan disebabkan suntikan vaksin.
“Polis sedang menjalankan siasatan terhadap laporan yang diterima itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan 505(B) kanun yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kematian pelajar perempuan dan lelaki, masing-masing berusia 17 tahun itu disahkan sebelum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilaksanakan di negeri ini pada 20 September lalu.
Menurutnya, pelajar perempuan Tingkatan Lima itu meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh akibat masalah kesihatan kencing manis dan positif COVID-19.
“Kematian membabitkan pelajar lelaki itu pula direkodkan pada 17 September lalu juga di HRPB akibat masalah kesihatan kerana menghidap jantung berlubang.
“Kedua-dua pelajar ini masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dan kematian mereka disahkan sebelum PICK Remaja ini bermula,” jelas beliau.
Mior Faridalathrash turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk pihak bertanggungjawab.
Video berdurasi 1 minit 38 saat yang tular sejak Selasa itu dipercayai dirakamkan dalam sebuah majlis yang diadakan sebagai tanda solidariti menuntut hak supaya pelajar tidak diwajibkan mengambil suntikan vaksin Covid-19.