29 SEPT: Program Agropreneur Muda dan geran pinjaman harus terus diperkasakan oleh kerajaan khususnya dari aspek peruntukan dan bimbingan kepada golongan belia dalam bidang pertanian.
Ahli Parlimen BERSATU Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, sektor pertanian merupakan penyumbang penting buat ekonomi negara di mana memberi hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini sebanyak 7.2 peratus iaitu RM24.1 billion.
“Pembiayaan geran dan agropreneur muda perlu dipermudahkan, dengan adanya geran itu, dijangkakan pengeluaran produk pertanian dapat ditingkatkan. Pihak kerajaan sepatutnya dapat menyediakan dana bagi lambakan stok pertanian di samping menstabilkan harga jualan.
“Ini mampu menarik minat anak-anak muda menjadikan produk pertanian mereka berkualiti. Agensi berkaitan perlu berkaitan perlu berusaha menjejaki lebih ramai usahawan muda agar dapat diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi,”katanya ketika membahaskan RMKe-12 di persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata, peruntukan perbelanjaan pembangunan RM400 bilion untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang merupakan jumlah terbesar pernah diusulkan diharapkan dapat diagihkan ke seluruh kawasan luar bandar agar jurang perbezaan dapat dikurangkan.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan agar semua kementerian mendapat maklum balas daripada setiap ahli Parlimen di negara ini dengan menganjurkan hari terbuka bersama mereka secara berkala.
“Sebagai ahli Parlimen luar bandar, saya menyokong cadangan Yang Berhormat Bera (Perdana Menteri) dalam RMKe-12 yang mahu menjadikan negara berpendapatan tinggi yang mempunyai kualiti lebih baik dalam lima tahun yang akan datang.
“Dalam buku RMKe-12, perkataan luar bandar di ulang 258 kali yang menunjukkan keprihatinan kerajaan di kawasan luar bandar namun sehingga bermula RMKe-12 masih ada kawasan luar bandar yang tidak mempunyai pusat pertumbuhan sebagai pemangkin kegiatan ekonomi.
“Saya mencadangkan supaya semua barisan menyokong Yang Berhormat Bera sebagai Perdana Menteri agar dapat mentadbir kerajaan dengan stabil supaya RMKe-12 dapat dilaksanakan bagi memacu pertumbuhan ekonomi pasca COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH