29 SEPT: Pindaan kepada syarat-syarat Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang mula dilaksanakan Oktober ini tidak boleh dilihat sebagai membebankan warga asing yang menyertai program tersebut.
Ini kerana penambaikan dan syarat baharu kepada peserta program itu mengambil kira perkembangan semasa sejak MM2H mula dilaksanakan pada 2002
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, dalam tempoh itu hingga sekarang sama ada kerajaan mahu pun peserta program, masing-masing mendapat manfaat.
Mengakui MM2H memberi impak amat besar dalam sektor pelancongan dan hartanah di negara ini, katanya peserta program juga menikmati pelbagai kemudahan serta keuntungan menetap di negara ini termasuk subsidi.
“Mungkin ramai tidak sedar, sebilangan peserta yang sudah mencecah 260,000 atau 0.8 peratus daripada sasaran had siling satu peratus populasi negara turut menikmati subsidi yang diperuntukkan kerajaan kepada rakyat.
“Sebagai contoh apabila mereka mengisi petrol, membeli minyak masak dan barangan lain yang bersubsidi, mereka juga menikmati kemudahan tersebut,” kata Mohamed Farid kepada PNBBC Portal.
“Lagipun, pada pendapat saya, sumbangan ekonomi melalui program ini masih lagi kecil, maka penambahbaikan yang dicadang akan memberi impak dan pengaliran mata wang asing yang lebih bermakna,”.
“Pada masa sama, ianya juga memberi tekanan sosial kerana rakyat bimbang mengenai kemasukan warga asing sekaligus menambah lambakan warga berkenaan di negara ini. Jangan dalam mengejar untung, kita mendapat rugi,” tambahnya lagi.
Menjawab soalan, Mohamed Farid tidak menolak pihak yang tidak berpuashati dengan pindaan syarat tersebut adalah mereka yang rasa terjejas terutama pemaju perumahan kerana tidak mudah lagi untuk menjual rumah kepada warga asing peserta MM2H.
KDN baru-baru ini antara lain mengumumkan akan menaikkan syarat kelayakan bagi pendapatan bulanan luar negara peserta MM2H daripada RM10,000 sebulan kepada RM40,000 dan memiliki simpanan tetap minimum RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.