29 SEPT : Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh mencetuskan kegusaran awam berhubung video kononnya pihak polis mahu merobohkan sebuah kuil di Cheras yang dimuat naik menerusi laman Facebook semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar, menerusi satu kenyataan berkata, video tersebut dimuat naik bertujuan untuk meraih simpati dan untuk dieksploitasikan.
“Satu video berkaitan isu ini telah dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.
“Polis Cheras juga menafikan terdapat tindakan pihak polis untuk.merobohkan mana-mana tokong di dalam kejadian tersebut,” tegas Muhammad Idzam.
Semalam tular di media sosial video sekumpulan 30 orang lelaki telah merusuh dan menyerang pihak polis kerana salah faham kononnya kehadiran pihak polis adalah untuk merobohkan sebuah kuil di kawasan berkenaan.
Kejadian itu berlaku ketika pihak polis dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG) menjalankan operasi untuk membina pagar penghadang ‘Hoarding’ untuk laluan ke sekolah.
Polis kemudiannya menahan empat lelaki berumur antara 19 hingga 50 tahun untuk siasatan di bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.