29 SEPT: Seorang wanita yang didakwa ada kaitan dengan “Geng Nicky” dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM120,000 dan tiga lagi tuduhan pelanggaran undang-undang cukai pendapatan.
Lim Kang Li, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kuala Lumpur antara 4 Mei 2018 dan 16 Mei 2020.
Kang Li didakwa mengubah wang berjumlah RM28,885.70, RM75,133.02 dan RM15,808 pada tempoh itu.
Dia boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak melebihi lima kali jumlah wang terbabit, jika sabit kesalahan.
Dia turut menghadapi dua pertuduhan tidak mengisytiharkan jumlah sebenar cukai pendapatannya untuk 2018 dan 2019 berjumlah RM131,150 dan RM309,100, sedangkan dia patut membayar sebanyak RM28,885.70 serta RM75,133.02.
Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dijatuhkan hukuman penjara dan denda sehingga RM10,000 dan dua kali ganda penalti daripada baki pendapatan yang patut dikenakan cukai.
Kesalahan itu dilakukan di tempat sama antara 4 Mei 2018 dan 2 Mei 2019.
Kang Li turut didakwa tidak menyerahkan borang nyata cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2019.
Kesalahan di bawah Seksyen 112 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 16 Mei 2020 di tempat sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, Rohaiza Abd Rahman dan Adip Sabir Abdullah mewakili LHDN, manakala Kang Li diwakili peguam Goh Kim Lian serta Krishnan Kesavan Nair.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan ikat jamin RM20,000 dan seorang penjamin serta mengarahkan Kang Li menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.
Beliau turut mengarahkan Kang Li melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan sementara menunggu keputusan perbicaraan.
Sebutan kes ditetapkan pada 8 Nov ini untuk membenarkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
Enam belas individu, termasuk Kang Li, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya April lalu kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Namun Nicky Liow Soon Hee, 33, yang mempunyai gelaran “Datuk Seri” dan pembantunya, Niu Zhe didakwa tanpa hadir kerana mereka melarikan diri.
Seramai 14 individu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan ikat jamin.