30 SEPT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan pelaksanaan selama sebulan Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang tidak membenarkan penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina bermula esok.
DBKL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan larangan itu ditangguhkan sehingga 31 Oktober ini.
“Penangguhan ini bertujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan liquor (arak) di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kemudahdapatan dan aksesibiliti liquor sudah menjadi aduan dan bantahan kerana ianya mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan orang ramai.
“Pada masa ini pemilik LMK runcit masih dibenarkan menjual minuman keras jenis liquor di kedai runcit, serbaneka, dan kedai ubat cina sehingga 31 Oktober ini,” katanya.
Sebelum ini, garis panduan yang berkuat kuasa 15 November tahun lalu itu dimuat naik di laman sesawang https://elesen.dbkl.gov.my/ menyatakan penjualan arak di tiga premis itu tidak dibenarkan mulai tarikh itu.