30 SEPT : Semua penjawat awam diwajibkan mengambil suntikan vaksin dan perlu melengkapkan dos suntikan tersebut sebelum 1 November ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, setakat ini seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam masih belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sekiranya penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.
“Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993]
“PU(A) 395/1993 memperuntukkan tujuh hukuman tatatertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan, iaitu amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.
“Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan),” jelas kenyataan itu.
Menurut JPA, perkara ini selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN)
Pada 21 September lalu, JPA dalam kenyataannya berkata pihaknya akan membawa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.
Jabatan itu memaklumkan, bagaimanapun kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, mencadangkan untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.