30 SEPT : Skim pencen perkhidmatan awam sedang diteliti dengan lebih mendalam oleh kerajaan bagi memastikan pesara kerajaan dapat menikmati wang persaraan mereka menerusi skim tersebut dengan lebih baik dan selesa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, setakat ini, jumlah pencen yang terendah yang diterima pesara kerajaan pada setiap bulan adalah RM1,000 sejak pelaksanaannya pada tahun 2018.
“Saya bagi contoh, dulu sebelum 2013, pencen kakitangan awam adalah RM720 tapi sejak 2018 kakitangan awam pencen terendah tak lagi RM720 namun RM1,000.
“Namun bagi mereka segelintir kurang daripada pendapatan garis kemiskinan iaitu RM2208, mereka mungkin terpaksa bekerja kerana memenuhi keperluan kehidupan mereka. Itu ada satu perkara yang sedang difikirkan.
“Sebenarnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dah buat satu kajian dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum dibuat memorendum Jemaah Menteri untuk lihat kembali bila pesara kerajaan pencen mereka agak selesa,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Batu Kawan, P. Kasthuriraani yang menyatakan jika kerajaan mempunyai pelan perancangan membantu golongan itu dan pelan kerajaan dalam memperbaiki polisi persaraan serta bila akan dilaksanakan.
Dalam pada itu, Kasthuriraani memaklumkan bahawa terdapat balu pesara kerajaan yang menerima RM690, Abdul Latiff menjawab bahawa itu merupakan kes isolated dan kerajaan akan melihat balik berkenaan perkara tersebut.
“Pencen penjawat awam dapat pencen sehingga dia hidup, bila dia meninggal isteri adalah waris tapi ada had dia jika lebih 15, akan perlahan-lahan dikurangkan pencen itu namun kita akan tengok balik kerana yang penting orang bekerja kerajaan dapat layanan baik.
“Tetapi kerajaan (Malaysia) lebih lagi bagi faedah kepada tanggungannya. Tak banyak negara yang buat macam itu,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH