30 SEPT: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dari Nilai, Negeri Sembilan, yang melancong bersama ibu bapanya ke Langkawi, menjadi individu terbaharu disahkan positif COVID-19 oleh Jabatan Kesihatan Kedah.
Pengarahnya, Dr Othman Warijo, berkata siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi mendapati kanak-kanak itu bersama ibu dan ayahnya tiba di Langkawi pada jam 7.30 malam, Jumaat lalu, melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Katanya, ibu dan ayah kanak-kanak berkenaan sudah menerima pelalian lengkap dan bukan kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19, manakala kanak-kanak itu juga tidak bergejala.
“Saringan RTK-Antigen menggunakan air liur ke atas ibu dan ayah kanak-kanak ini dilakukan di klia2, iaitu sebelum mereka berlepas ke Langkawi dan disahkan negatif.
“Kanak-kanak ini juga tidak mengalami gejala sebelum perjalanan dan ketika saringan di klia2, sebelum berlepas ke Langkawi. Mereka turut memakai pelitup muka sepanjang berada di klia2, di dalam penerbangan dan ketika berada di Langkawi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Othman berkata, kanak-kanak berkenaan mula mengalami demam pada Sabtu lalu, dan dibawa mendapatkan rawatan pada Ahad, sebelum disahkan positif COVID-19.
Hasil siasatan itu menurutnya mendapati selain ibu dan ayah kanak-kanak itu, terdapat tiga orang saudara yang juga penduduk tempatan Langkawi menjadi kontak rapatnya.
“Semua lima kontak rapat sudah menjalani ujian saringan dan diberi arahan kuarantin selama 10 hari.
“Keputusan ujian saringan mendapati semua kontak rapat negatif. Hasil siasatan juga mendapati kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak ini berlaku sebelum melancong ke Langkawi,” katanya.
Katanya lagi, sehingga hari ini, hanya satu kes positif dilaporkan membabitkan pelancong ke Langkawi dan tiada penularan dalam kalangan ahli keluarga atau penduduk tempatan berlaku.
“Keadaan kanak-kanak ini bergejala ringan dan diletak di bawah pemantauan pasukan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Langkawi, manakala kontak rapat lain tidak bergejala dan mereka lengkap vaksinasi.
“Jabatan Kesihatan Kedah dan PKD Langkawi akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dan akan memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksana secara berterusan,” katanya.