30 SEPT: Keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan serta imej negara ini kepada keadaannya yang asal .
Mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan lebih teruk dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.
“Ketika saya mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, saya telah menerima laporan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.
“Kerosakan ini melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau using,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab isu baik pulih kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya itu.
Kerosakan lain membabitkan pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang. Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.
“Berdasarkan laporan yang saya terima, pihak JPM mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar,” jelas beliau.
Selain mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain, sistem pendawaian dan mekanikal yang telah usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.
Tambahnya, saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi.
Kerosakan Seri Perdana yang turut membabitkan kebocoran bumbung dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.
Menurut Muhyiddin, bagi memastikan proses baik pulih mengikut spesifikasi ditetapkan dengan hasil berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat sebuah Pasukan Petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerjaraya dan JPM.
“Saya percaya Jabatan Kerjaraya dan JPM yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.”.
“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini,” tambah beliau.
Muhyiddin berkata, kerja-kerja membaik pulih Seri Perdana diluluskan semasa pentadbirannya sebagai Perdana Menteri tetapi beliau tidak pernah menduduki kediaman itu sepanjang tempoh memegang jawatan itu.
Kerja-kerja membaik pulih Seri Perdana yang telah mencapai 74 peratus pelaksanaan membabitkan kos RM38.5 juta.