30 SEPT: Kerajaan akan membangunkan ‘road map’ atau pelan strategik pembangunan vaksin negara yang akan dikeluarkan pada 1 November hadapan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pelan pembangunan itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Pemberian dana vaksin RM60 juta adalah turutan daripada Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9), itu pun bukan RM60 juta (seperti didakwa Ahli Parlimen Pandan) tetapi RM55.4 juta.
“Namun, perkara ini telah dipertingkatkan akhir-akhir ini. Kita akan bangunkan road map atau pelan strategik pembangunan vaksin negara yang akan diumumkan 1 November oleh Perdana Menteri,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen PH Pandan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang ingin kerajaan menyatakan perkembangan terkini pembangunan vaksin di negara ini yang menerima peruntukan RM60 juta.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Wan Azizah berkenaan kos yang telah dibelanjakan kerajaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Adham memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM314 juta bagi tujuan tersebut yang merangkumi pelbagai aspek.
“Perbelanjaan tersebut meliputi kos pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV), perbelanjaan dan sewaan utiliti, serta perbelanjaan dan pembersihan sanitasi,
“Selain itu, kos tersebut juga adalah perbelanjaan bagi perkakasan dan peralatan pakai buang, kebajikan petugas di PPV serta kerajaan juga mempertimbangkan dua perkara penting iaitu sagu hati sukarelawan dan anggota keselamatan di samping belanja makan minum petugas,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH