30 SEPT : Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebulat suara bersetuju untuk melantik Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu BERSATU yang pertama (penaja).
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, BERSATU percaya bahawa pelantikan Datuk Seri Dr. Edmund Santhana Kumar mampu menarik lebih banyak penyertaan ahli-ahli bersekutu.
“MPT BERSATU mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau. Kita yakin dan percaya bahawa pelantikan beliau ini dapat meningkatkan sokongan rakyat daripada semua lapisan masyarakat kepada BERSATU,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Keputusan pelantikan itu dibuat dalam mesyuarat MPT BERSATU yang dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.