30 SEPT: Keputusan muktamad mengenai penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) serta Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) akan dibuat selepas kerajaan meneliti situasi COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau akan mengadakan banyak perbincangan dengan pihak industri dan berkepentingan termasuk dari luar negara bagi mengetahui status pembabitan mereka dalam pameran itu.
“LIMA dan DSA banyak bergantung kepada keadaan COVID-19 di negara ini. Tetapi saya nak ingatkan keputusan penganjuran tidak hanya berdasarkan kepada pertimbangan kita sendiri kerana suasana jangkitan di luar akan menentukan pembabitan industri berkaitan.
“Kita kena kaji secara teliti, berdoa dan harap situasi COVID-19 di negara ini bertambah pulih. Pada masa yang sama, kita kena berinteraksi dengan semua pihak terbabit untuk menjayakan kedua-dua pameran berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-9 (MALBATT 850-9).
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan LIMA tidak akan diadakan tahun ini biarpun ada permintaan penganjuran secara maya.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut meluahkan rasa bangga apabila Malaysia terus diberi kepercayaan dan penghormatan tertinggi untuk kekal terlibat dalam misi pengaman antarabangsa di Lubnan.
Beliau berkata tindakan berkenaan menyerlahkan kemampuan dan membuktikan kredibiliti serta kecemerlangan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Lebih istimewa, MALBATT 850-9 menampilkan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dengan misi ini, iaitu 11 pegawai dan 75 anggota lain-lain pangkat.
“Ini bukan sahaja membuktikan keupayaan dan kredibiliti anggota wanita ATM malah ia turut selari dengan keperluan semasa yang memerlukan lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugasan berkaitan kemasyarakatan membabitkan wanita tempatan,” katanya.
Misi MALBATT 850 bermula sejak 2013 dengan tanggungjawab di bahagian Sektor Barat, Selatan Lubnan.
Penugasan utama MALBATT 850 adalah melaksanakan operasi pengaman dan komposisi MALBATT 850 ini, terdiri daripada pegawai dan anggota ketiga-tiga perkhidmatan ATM, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan pegawai kewangan dari Kementerian Pertahanan.