30 SEPT : Kerajaan akan menyemak semula silibus pembelajaran di peringkat sekolah agar kesedaran dan pengetahuan rakyat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak hanya tertakluk kepada rakyat Sabah dan Sarawak sahaja, namun untuk seluruh rakyat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, selain itu, pihaknya juga akan melaksanakan kerjasama dengan pelbagai kementerian khususnya Kementerian Perpaduan bagi memastikan MA63 menjadi pengetahuan penting buat masyarakat di negara ini.
“Kita membincangkan beberapa perkara iaitu adalah membuat semakan silibus di peringkat sekolah supaya sejarah penubuhan Malaysia itu diajar lebih luas di peringkat sekolah khususnya di sekolah menengah dan isntitusi pengajian tinggi.
“Selain pendidikan dan gerak kerja daripada kerajaan persekutuan, di peringkat kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sudah pastinya memulakan program pengedaran maklumat itu khasnya di kalangan belia dan beliawan,” katanya ketika sesi jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen GPS Kota Samarahan, Rubiah Wang yang menyatakan langkah kerajaan untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai MA63 yang bukan sahaja buat masyarakat di Sabah dan Sarawak namun termasuk seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan asal Rubiah berkenaan status terkini Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai MA63, Maximus memaklumkan, ianya akan terus diperhalusi oleh kerajaan bersama dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
“Sehingga kini Majlis Khas MA63 telah bermesyuarat dua kali iaitu pada 2 Disember 2020 dan 13 April 2021 dan akan bermesyuarat semula pada Oktober ini selepas penggal persidangan Mesyuarat Dewan Rakyat selesai bersidang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH