30 SEPT : Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa 1 Oktober 2021 ini.
Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail, ketetapan baharu itu dibuat setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah lbni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghfur-Lah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan selaras dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara ( PPN) di Wilayah Persekutuan.
Jelasnya, dalam ketetapan baharu tersebut, kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu dan solat berjemaah yang lain.
“Semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh, Kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, tazkirah sebelum solat Jumaat. tadarus Al-Quran, kuliah Muslimat, bacaan yasin, tahlil, program zikir munajat dan doa tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan.
“Sehubungan itu, JAWI berharap agar umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera berakhir,” ujarnya.