1 OKT: Kerajaan Arab Saudi mengumumkan
kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 bermula hari ini.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata bilangan jemaah solat fardhu di Masjidilharam juga dinaikkan kepada 60,000 orang pada satu masa.
Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang menumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi paada awal September lalu mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Oktober 2020.
Peda masa sama, kerajaan Arab Saudi juga meluluskan lebih daripada 12,000 permohonan visa bagi menyambut kedatangan jemaah dari pelbagai negara sejak 10 Ogos lalu.
Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar Arab Saudi serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan segala urusan jemaah.
“Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, katanya.