1 OKT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia menentang UMNO sekiranya parti itu enggan bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sebelum itu PN akan melakukan perbincangan dengan UMNO untuk mempelawa parti itu bergabung dalam PRU-15.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, pelawaan itu adalah bagi memastikan semua parti Melayu dapat bergabung dan kepimpinan Melayu dapat terus dikekalkan sekiranya PN memang PRU-15.
“UMNO tidak pernah ada dalam PN. PN ditubuhkan dengan penaja awal iaitu BERSATU, PAS dan parti-parti kecil lain. UMNO tidak pernah ada dalam PN, jadi kita sarankan kerjasama untuk gabungan parti yang berasaskan kepimpinan dan perjuangan Melayu.
“Ini untuk kita hadapi PRU dan menang dengan lebih besar. Ini bagi melestarikan kepimpinan Melayu itu sendiri, kalau kita berpecah, PN, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bersama-sama, nanti tiada parti yang majoriti untuk bentuk kerajaan pada PRU-15.
“Jadi kena ada gabungan tetapi terpulang (kepada UMNO mahu sertai gabungan PN dalam PRU-15),” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Memorandum persefahaman (MoU) antara Syarikat Sersol Energy Sdn Bhd, Aeroleum Sdn Bhd dan Silicon Designs (M) Sdn Bhd di Menara MSC Cyberport, Johor Bahru, hari ini.
Mohd. Redzuan berkata demikian mengulas mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti PN semalam yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan berlangsung tanpa kehadiran wakil UMNO.
Dalam mesyuarat tersebut, parti-parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15 melibatkan kerusi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.
Mesyuarat tersebut dihadiri parti komponen PN iaitu BERSATU, PAS, Star Sabah, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Gerakan.
Mengenai MPT BERSATU yang melantik Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar sebagai Ketua Sayap Bersekutu pertama parti itu, beliau berkata, itu merupakan satu perubahan dalam BERSATU yang akan menjadi parti berbilang kaum.
“Persaingan kita selepas ini mungkin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ‘multi racial’. Ada juga kebaikannya orang-orang bukan Melayu mungkin tertarik sertai BERSATU jika mereka rasa PKR tidak boleh memimpin mereka,” katanya.