1 OKT: Polis memanggil pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, kali kedua ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan kes gangguan seksual membabitkan dirinya.
Ebit dipercayai hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam bersama isterinya dan memberikan keterangan kali kedua kepada petugas Bahagian D11.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan mengesahkan Ebit telah tampil semula bersama isterinya bagi membantu siasatan.
“Saya boleh sahkan bahawa kita telah memanggil beliau (Ebit) sekali lagi bagi memenuhi keperluan untuk melengkapkan kertas siasatan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada sebuah portal hari ini.
Bagaimanapun Abd Jalil berkata tidak mengulas lebih lanjut mengenai kehadiran Ebit.
“Saya akan mengeluarkan kenyataan media rasmi nanti,” katanya.
Sebelum itu, Bukit Aman mengesahkan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan ekoran sebuah video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi media sosial mengaitkan seorang pendakwah terkenal.
Dalam satu kenyataan berasingan Abd Jalil meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes pendakwah terkenal berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan apa-apa bahan di mana-mana platform bagi mengelak spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siastan polis,” katanya.