1 OKT: Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, menegaskan spekulasi kononnya bakal berlaku perubahan pada corak pimpinan di Melaka ketika ini, adalah perkara biasa dalam dunia politik.
Sulaiman berkata, tiada yang akan kekal dalam landskap politik negara yang mana perubahan pasti akan berlaku sama ada cepat atau lambat.
“Maaf, saya enggan ulas mengenai desas-desus perubahan Kerajaan Negeri ketika ini. Bagi saya, ini perkara biasa dalam dunia politik, perubahan pasti akan berlaku bila tiba waktunya nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, spekulasi kini bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.
Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).
Empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).
Untuk rekod kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.
Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.
Sementara itu, Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim ( bersongkok ) mengesahkan beliau dan Ahli Jawatankuasa Bahagian, Srikandi dan Armada Bersatu Kota Melaka kekal menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Melaka.
“BERSATU Kota Melaka fokus dengan agenda kerajaan menangani COVID-19 dan membantu masyarakat dalam isu kehidupan dan ekonomi. Justeru, segala usaha menjatuhkan kerajaan negeri adalah tidak disokong,” katanya.