1 OKT: Kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memperuntukkan RM41 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 1, Sepang, Selangor.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata peruntukan disediakan itu bagi mengatasi risiko banjir di kawasan Dengkil dan daerah Sepang, yang memberi manfaat kepada 50,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Tuan Ibrahim berkata, pihaknya menerima banyak aduan di media sosial daripada penduduk beberapa kampung di Dengkil berhubung kejadian banjir yang sering melanda di kawasan itu.
Katanya, beliau turut mendengar taklimat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyatakan kawasan ini sering dilanda banjir dan ban pecah sehingga merosakkan harta benda penduduk.
“Bagi penyelesaian jangka pendek dan segera, kementerian meluluskan peruntukan RM600,000 bagi penyelenggaraan sistem perparitan, menaik taraf ban Sungai Semarang dan pengaktifan pam di pintu air sungai berkenaan serta-merta,” katanya yang dikongsi di akaun Facebooknya selepas mengadakan lawatan ke Kampung Sri Tanjung dan Kampung Lalang, Sepang. semalam.
Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah.