1 OKT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperketatkan syarat permohonan baharu dan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang akan dibuat oleh majikan bagi pekerja warga asing.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, langkah berkenaan untuk memastikan pihak majikan menyediakan kediaman yang sesuai untuk pekerja warga asing selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
Khairul Dzaimee berkata langkah berkenaan perlu berikutan masih terdapat ramai majikan didapati melanggar peruntukan di bawah Akta 446 biarpun sudah banyak kali diberi amaran dan dikenakan kenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
“Walaupun operasi penguatkuasaan sudah banyak kali dijalankan, namun jika kita perhatikan masih banyak penempatan pekerja warga asing ini yang tidak mematuhi Akta 446.
“Oleh itu JIM akan mencadangkan satu polisi baharu untuk pengeluaran dan sambungan PLKS agar majikan perlu mematuhi Akta 446 dengan cara mendapatkan sijil perakuan melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” katanya ketika ditemui selepas operasi penguatkuasaan di Kajang hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, hanya pihak majikan yang mendapat sijil pengesahan daripada JTK akan dipertimbangkan untuk pengeluaran atau pembaharuan PLKS bagi pekerja asing yang bekerja dengan mereka.
Beliau berkata, polisi baharu tersebut masih di peringkat kajian dan beliau menjangkakan syarat tersebut akan dibincangkan, dilaksanakan dan dikuatkuasakan secepat mungkin.
“Saya akan membawa cadangan ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu dan akan turut dibincang dengan Kementerian Sumber Manusia dan JTK untuk penyediaan garis panduan.
“Saya akan memperhalusi dan menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi kerana kita tidak boleh lagi membenarkan majikan terus menyediakan kediaman yang sesak dan kotor serta boleh menjadi punca kepada penyebaran penyakit,” katanya