1 OKT : Semua kemudahan yang diumumkan sebelum ini melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh dinikmati setiap individu dengan syarat lengkap dos vaksin dalam setiap peralihan fasa.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini membuat keputusan itu berdasarkan perkembangan terkini peralihan fasa PPN di kebanyakan negeri dan dominasi varian Delta dalam kalangan varian baharu COVID-19 yang dikesan di dalam negara.
Kata Khairy, keputusan ini dibuat selepas Jemaah Menteri mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat.
“Kita tidak selamat sehingga semua selamat. Ingin saya tegaskan kejayaan membawa negara keluar daripada pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan, tetapi juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang ditetapkan.
“Tidak mustahil situasi jangkitan kembali serius jika masyarakat mengambil mudah dengan segala kelonggaran diberikan.
“Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang disahkan pegawai perubatan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairy, perincian mengenai SOP fasa PPN akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Khairy berkata langkah pembukaan semula sektor sosial dan ekonomi di dalam negara mesti dilakukan dengan berhati-hati dan selamat.
“Sebab itu pada 8 Ogos dan 15 Ogos 2021, kerajaan mengumumkan kemudahan sektor sosial dan ekonomi hanya bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap.
“Penting untuk dijelaskan bahawa seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu lengkap vaksinasinya apabila memenuhi kriteria iaitu pertama, bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, individu terbabit mesti melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua.
“Kedua, bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan iaitu Johnson & Johnson dan CanSino, individu berkenaan mesti melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” katanya.