2 OKT: Kampung Orang Asli Chadak, Tanjung Rambutan, Kinta, Perak dan Kampung Mokodou, Ranau, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing bermula esok dan lusa.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata PKPD di Kampung Orang Asli Chadak dan Kampung Mokodou akan dilaksanaka selama 14 hari.
“PKPD di lokaliti terbabit setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
“Selain itu, PKPD membabitkan Kampung Orang Asli Ulu Pareh, Bentong, Pahang yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan 14 hari lagi berakhir 17 Oktober,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rodzi berkata, PKPD di Kampung Tamu Darat, Kota Belud, Sabah dan empat lokaliti di Pahang akan ditamatkan esok mengikut jadual.
Katanya, lokaliti berkenaan membabitkan Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang serta Kampung Sungai Chohong di Lembah Bertam, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands, serta Kampung Orang Asli Sungai Koi, Hulu Cheka, Jerantut.
“PKPD di PASDEC Bandar Damansara, Kuantan, Pahang pula ditamatkan hari ini lebih awal dijadual pada Jumaat ini,” katanya.