2 OKT: Sebanyak 51 rumah dan sembilan kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Baru, Karak, Bentong, malam tadi.
Premis berusia 40 tahun selain struktur binaan dengan kombinasi simen, papan dan kayu menjadi faktor utama kebakaran merebak dengan cepat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Mohd Zaidi Wan Isa, berkata pasukannya berhadapan beberapa kesulitan dalam operasi pemadaman kebakaran di perkampungan itu yang memusnahkan 95 peratus kediaman di situ.
Katanya, premis kediaman dan kedai yang terbabit dalam kebakaran itu terdiri daripada bangunan lama yang binaannya terdiri daripada papan dan kayu, berusia antara 30 hingga 40 tahun.
“Ini menyebabkan kadar pemerebakan kebakaran berlaku terlalu cepat dan juga ‘fire loading’ (bahan mudah terbakar) yang tinggi menyebabkan kerja memadam berhadapan kesulitan.
“Keadaan binaan (premis rumah) yang terlalu rapat antara satu sama lain dan dibina dengan bahan mudah terbakar seperti papan dan kayu juga menyebabkan kebakaran agak sukar dikawal,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Dalam pada itu, katanya tekanan air yang tiba-tiba menjadi rendah ketika operasi memadam api sedang dijalankan juga menyulitkan operasi bomba mengawal kebakaran.
Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.13 pagi dan kerja memadam sisa kebakaran serta siasatan punca kebakaran dijalankan sehingga petang ini.
Wan Mohd Zaidi berkata, siasatan berhubung punca sebenar kebakaran kini masih dijalankan dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk memeriksa sebuah premis kosong bekas kedai gunting rambut yang dikatakan menjadi punca kebakaran.
“Kita akan siasat berhubung kemungkinan berlaku litar pintas serta dakwaan ada premis yang terbakar itu menyimpan mercun, siasatan akan dijalankan dengan,” katanya.