Hala tuju PRU-15, GRS diberi mandat penuh
2 OKT: Parti Perikatan Nasional (PN) menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menentukan haluan politik mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan bersama Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor, hari ini.
“Kita percaya GRS mewujudkan tanggapan yang baik dalam kalangan rakyat. Jadi saya rasa kerajaan pimpinan beliau (selaku Ketua Menteri) yang sudah setahun dengan banyak inisiatif tentu ini memberi faedah kepada rakyat.
“Oleh itu, kita putuskan tadi supaya Hajiji dan rakan-rakan yang ada dalam GRS di peringkat negeri boleh berbincang dan dapatkan satu kata pendirian dan haluan yang jelas bagaimana untuk hadapi PRU-15.
“Di peringkat negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah selesai. Sekarang di peringkat Parlimen, perbincangan akan dibuat mengikut penilaian bagaimana untuk mewujudkan kerjasama atau sebaliknya, ini bergantung dengan hasil perbincangan yang akan dibuat nanti,” katanya ketika sidang media selepas sesi mesyuarat bersama Badan Pimpinan BERSATU Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau telah memberikan mandat kepada Hajiji untuk membuat perbincangan dengan rakan GRS berhubung kerjasama yang akan diadakan di negeri ini.
“Sabah mempunyai sedikit kelainan berbanding keadaan di Semenanjung. Saya kira fakta itu perlu diambil kira supaya akan ada satu keputusan baik untuk semua.
“Persiapan perlu dimulakan dengan mengadakan beberapa strategi untuk memastikan Sabah terus kekal di bawah GRS.
“Saya sudah menyatakan pentingnya untuk kita mempunyai satu hala tuju yang jelas mengenai bentuk kerjasama yang perlu dijalinkan antara parti-parti di Sabah,” katanya.