2 OKT: Ahli Parlimen Sabah mendesak kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan diplomatik terhadap Beijing dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan aktiviti ketenteraan negara itu di Laut China Selatan.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan berkata Malaysia jangan sesekali tunduk terhadap tindakan oleh mana-mana negara kuasa besar yang suka membuli, termasuk China.
“Malaysia mesti memanggil Duta Besar China berkenaan perkara itu dengan segera. Ini tindakan serius kerana membabitkan pencerobohan ke atas wilayah kita.
“Kerajaan mesti menghantar nota bantahan diplomatik keras terhadap Beijing dan PBB membabitkan aktiviti ketenteraan negara itu di Laut China Selatan,” katanya.
Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, turut menggesa kerajaan membuat permintaan segera kepada Majlis Keselamatan PBB supaya bermesyuarat, dalam usaha mencari penyelesaian meredakan ketegangan di kawasan terbabit, kesan daripada provokasi aktiviti serta kehadiran aset ketenteraan China.
Ahli Parlimen Keningau itu sebelum ini cukup berkeras berkenaan aktiviti ketenteraan China di kawasan Laut China Selatan, selain menyatakan kemarahannya terhadap “sikap terbuka dan bermusuhan” susulan laporan 16 pesawat tentera China terbang di ruang udara Malaysia.
Beliau tidak menolak China berminat menguasai kekayaan sumber asli di kawasan terbabit, yang menjadi motif di sebalik tindakannya membuli negara kecil seperti Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
“Laut China Selatan adalah laluan perdagangan antarabangsa dan perairan di dua negeri itu kaya dengan sumber seperti minyak dan gas,” katanya.
Kitingan turut menyatakan kebimbangan wujudnya konflik ketenteraan membabitkan negara besar di Laut China Selatan, terutama Sabah yang pastinya akan menerima kesan langsung.
Perjanjian keselamatan antara Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, atau dikenali sebagai Aukus, menjadi tindak balas daripada sekutu Barat, bertujuan mendepani dominasi China di Asia Tenggara, termasuk merangkumi Laut China Selatan.
Dalam pada itu, Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Abdul Rahman Ayob, berkata pencerobohan kapal China dalam perairan Malaysia sudah berlaku sejak 2013, namun sejak akhir-akhir ini, pencerobohan semakin meningkat.