2 OKT: MARA Liner tetap meneruskan perkhidmatan bas MARA terutama di kawasan luar bandar biarpun jumlah penumpangnya mengalami kemerosotan kesan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata sehingga Ogos lalu, seramai 12,000 penumpang menggunakan perkhidmatan bas MARA Liner berbanding 83,000 penumpang pada 2019.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, selain orang ramai bimbang keluar dan menggunakan perkhidmatan bas.
“Walaupun berdepan penurunan jumlah penumpang pada 2020 dan tahun ini, MARA tetap komited membantu masyarakat luar bandar dalam menyediakan perkhidmatan bas harian sama seperti dinikmati penduduk di kawasan bandar.
“Perkhidmatan bas MARA Liner akan sentiasa ditambah baik termasuk menggunakan bas baharu yang lebih selesa, namun tambangnya masih kekal bagi memudahkan masyarakat luar bandar,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis penyerahan bas baharu MARA Liner di bengkel MARA Liner Kuala Nerang.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Pembangunan Strategi Pelanggan Scania, Idros Puteh.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, penyerahan dua bas baharu MARA Liner berkenaan akan memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk setempat dan menambah baik operasi bagi laluan Kuala Nerang-Terminal Bas Naka.
“Bas baharu ini bagi menambah kapasiti perkhidmatan 16 bas henti-henti membabitkan lapan laluan di daerah ini, manakala tambahan satu bas ekspres baharu bagi laluan Kuala Nerang-Pendang-Kuala Lumpur.
“Kita juga akan menaik taraf bengkel MARA Liner Kuala Nerang yang berusia 30 tahun membabitkan peruntukan RM500,000, selain turut membina bengkel baharu di Serdang, Kedah membabitkan peruntukan RM3.5 juta,” katanya.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, MARA Liner turut menyediakan perkhidmatan bas ekspres ke destinasi projek rintis gelembung pelancongan sebagai sokongan kepada projek di bawah inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Bagi memastikan keselamatan penumpang, beliau berkata, semua pemandu bas MARA Liner bagi perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti lengkap divaksinasi, sekali gus menyokong usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok.