2 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pembinaan sekolah berhampiran sebuah tokong di Salak Selatan, Cheras sudah dirancang sejak tahun 2017.
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kajian mendapati tanah rizab sekolah tersebut adalah satu-satunya lokasi yang paling strategik untuk projek pembinaan sekolah menengah baharu itu.
“Pembinaan sekolah menengah baharu di tapak tersebut dapat memanfaatkan keluarga daripada 7,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) berhampiran sekali gus menjimatkan kos pengangkutan, masa dan bebanan.
“Kebajikan dan keperluan murid-murid sentiasa menjadi keutamaan KPM dalam projek pembinaan sesebuah sekolah baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, insiden konflik yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu mencetuskan polemik dan provokasi, bahkan terpesong daripada fakta sebenar dan isu yang akan menimbulkan kegusaran serta menggugat ketenteraman awam haruslah dielakkan.
Menurutnya, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Tokong Wong Low Shen See Chee How, Yap Chee Fong atas permohonan maaf dan penjelasan ke atas insiden konflik yang berlaku pada 28 September lalu.
“Ia tidak berkaitan dengan keagamaan dan perkauman. Saya juga menyeru semua pihak untuk meneliti insiden ini secara menyeluruh dan rasional demi kesejahteraan bersama.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak tokong yang berjanji serta komited untuk menyerahkan kunci pagar bagi memudahkan kerja-kerja yang selanjutnya,” katanya.
Setakat semalam, polis mengesahkan sudah menahan 24 individu bagi membantu siasatan rusuhan di hadapan tokong berkenaan, baru-baru ini termasuk tindakan menyerang anggota penguat kuasa.