2 OKT: Ahli Parlimen BERSATU-Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengambil inisiatif menganjurkan Program Vaksinasi Outreach dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, antara langkah-langkah segera menangani wabak COVID-19.
Mohd Rashid berkata beliau berharap kaedah mobilisasi berkenaan dapat membantu mencapai individu yang sukar bergerak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Beliau berkata, inisiatif yang digerakkan itu adalah bertujuan membantu program vaksinasi kebangsaan untuk mempercepatkan sasaran herd immunity atau imuniti kelompok negara menjelang Oktober tahun ini.
“Saya bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia mencetuskan program ini melalui Pusat Khidmat Rakyat Batu Pahat bermatlamat menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui usaha meningkatkan jumlah penerimaan vaksin,” katanya.
Program Vaksinasi Outreach Parlimen Batu Pahat turut menyediakan akses vaksinasi kepada komuniti di segenap peringkat di Penggaram, Senggarang dan Rengit yang terletak dalam kawasan Parlimen Batu Pahat.
Ia digerakkan melalui tiga unit yang dibentuk bagi melaksanakan dan menyelaras mobilasi melibatkan tenaga sukarelawan daripada persatuan dan pusat khidmat.
Mohd Rashid yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata seramai 20 doktor dan jururawat dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia menyasarkan sehingga 120 individu seperti kelainan upaya (OKU) dan warga emas mendapatkan imunisasi mereka.
“Bagi saya, ia membantu kelancaran program vaksinasi bagi mengurangkan beban tugas pasukan barisan hadapan melalui khidmat sukarelawan. Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia yang begitu komited dan bersungguh-sungguh melaksanakan program ini,” katanya.