2 OKT: Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka, di Melaka akan diwartakan sebagai Taman Laut Negara yang baharu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, proses pewartaan itu tidak merangkumi daratan sebaliknya hanya membabitkan radius satu batu nautika dari pantai ke laut di setiap pulau berkenaan.
“Melalui pewartaan taman laut ini ia dapat menjadi habitat perlindungan dan pembiakan ikan sekali gus menjaga kelestarian ekosistem sektor perikanan negeri.
“Pemilihan tiga pulau ini kerana mempunyai kawasan ekosistem terumbu karang yang baik selain terdapat juga spesies karang yang terdedah kepada kepupusan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pulau Undan, hari ini.
Beliau berkata, pewartaan itu nanti bukan hanya memberi manfaat kepada kehidupan marin malah dapat membantu sektor ekonomi termasuk bakal menjadi tumpuan pelancongan baharu.
“Apabila diwartakan kelak ia bakal memberi limpahan ekonomi terutamanya kepada golongan nelayan serta sektor pelancongan.
“Ini kerana di kawasan itu nanti akan diperkenalkan zon scuba diving (aktiviti selam skuba) dan juga snorkeling yang menarik minat peminat aktiviti untuk datang,” katanya.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, apabila diwartakan, semua aktiviti perikanan termasuk memancing dan memasang pukat dilarang di kawasan itu.
“Kita kini di peringkat akhir menunggu kelulusan kerajaan negeri sebelum dibawa ke kementerian untuk diwartakan sebagai Taman Laut Negara yang baharu,” katanya.