2 OKT: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang dikaitkan dengan projek sistem uCustoms, seperti dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), baru-baru ini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata lelaki berusia 56 tahun itu ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, malam tadi, untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan SPRM melantik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengetuai siasatan isu sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta yang gagal disiapkan, biarpun projek berkenaan sudah dimulakan sejak lebih tujuh tahun lalu.
Azam dalam satu kenyataan dipertik sebagai berkata, pihaknya memulakan siasatan berkenaan selepas kes itu dibangkitkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan di meja ahli Parlimen, Isnin lalu.
“Siasatan adalah menjurus kepada sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam pada itu, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman.
Suspek diwakili peguam Daljit Singh dan Nicholas Mark Pereira.
Daljit Singh berkata, anak guamnya telah direman selama enam hari bermula hari ini hingga Khamis.
“Anak guam saya telah direman enam hari. Saya dimaklumkan syarikat anak guam saya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi
LKAN 2019 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendedahkan sistem uCustoms oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) gagal disiapkan dalam tempoh 86 bulan walaupun lima lanjutan tempoh masa (EOT) diberikan.
Menurut laporan audit itu, sejumlah RM272.99 juta telah dibayar kepada pembekal dan Pejabat Pengurusan Projek manakala hanya satu Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM55,660 telah dikenakan.
Isnin lalu, media melaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil wakil Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak lama lagi bagi meminta penjelasan mengenai isu punitif membabitkan Sistem uCustoms yang gagal berfungsi sehingga hari ini, biarpun kerajaan sudah berbelanja ratusan juta ringgit.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata tindakan itu adalah antara prosiding terhadap 25 isu punitif yang terdapat dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 dan dijangka dilaksanakan mulai November ini.
Katanya, antara isu besar yang akan diberi perhatian adalah membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berhubung Sistem uCUSTOMS.