2 OKT: Peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan golongan dewasa di Malaysia menjadi antara faktor utama penurunan kes baharu positif harian COVId-19 dengan 10,915 kes dilaporkan hari ini berbanding 11,899 kes semalam.
Dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini mencecah 2,268,499 kes sejak wabak maut berkenaan mulai dikesan di negara ini, pada 24 Februari 2020.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah 10,915 kes berkenaan 10,908 adalah kes jangkitan tempatan membabitkan 10,182 rakyat Malaysia dan 726 warga asing, manakala tujuh lagi adalah kes import.
“Sarawak masih mencatatkan kes jangkitan baharu tertinggi dengan mencatatkan 2,121 kes diikuti Selangor yang mencatatkan 1,386 kes, Kelantan (1,288) dan Johor (1,124).
“Negeri mencatatkan kes bawah angka 1,000 kes ialahlah Perak (862), Terengganu (818), Sabah (784), Penang (768), Kedah (574), Pahang (504), Melaka (216), Negeri Sembilan (211), Kuala Lumpur (171), Perlis (58), Putrajaya (26) dan Labuan (empat),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata hanya 1.3 peratus atau 139 daripada 10,915 kes baharu dilaporkan positif hari ini adalah terdiri daripada pesakit COVID-19 berada pada tahap 3,4 dan 5, manakala 10,776 kes atau 98.7 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara berada pada 0.90 dengan Perlis mempunyai nilai RT tertinggi iaitu 1.04, Putrajaya 1.03 dan Melaka 1.01.
“Negeri lain pula mencatatkan nilai RT kurang dari 1.0, sementara Labuan mencatat nilai sifar,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata KKM sentiasa mengambil berat mengenai penjagaan kesihatan dalam kalangan warga emas di Malaysia.
Beliau berkata ini kerana sehingga 30 September 2021, sebanyak 177,220 warga emas (7.9 peratus) telah dijangkiti wabak COVID-19.
“Sebanyak 106 kluster yang melibatkan warga emas telah dilaporkan. Ini melibatkan sejumlah 3,598 kes positif COVID-19 termasuk 220 kes kematian telah dilaporkan dalam kluster ini.
“Pada tahun 2021 sehingga Minggu epidemiologi (ME) ke-38, sebanyak 14,248 (56.6%) kes kematian COVID-19 melibatkan warga emas telah dilaporkan. Walau bagaimanapun, tren ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 2021 (PICK).
“Sehingga 29 September 2021, seramai 3,148,438 (87.4 peratus) warga emas telah lengkap divaksin dan seramai 3,365,443 (93.4%) warga emas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Sehingga 26 September 2021, seramai 19,641 (66.8%) penghuni dan penjaga di pusat jagaan warga emas telah menerima dos lengkap vaksin. Usaha pemberian vaksin sentiasa diteruskan untuk memastikan golongan berisiko tinggi ini terlindung dari jangkitan COVID-19,” katanya.