3 OKT : Sebanyak 98.2 peratus atau 8,907 daripada jumlah kes COVID-19 baharu yang direkodkan pada hari ini merupakan pesakit kategori satu dan dua.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka selebihnya iaitu 159 kes bersamaan 1.8 peratus pula merupakan kategori 3, 4 dan 5.
“Kes sembuh masih lagi mengekalkan rekod mengatasi kes harian apabila mencatatkan sebanyak 14,454 kes hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif sembuh meningkat kepada 2,100,565 kes.
“Jumlah kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga masih kekal di bawah paras 1,000 kes iaitu 815 kes serta 355 memerlukan bantuan pernafasan iaitu mencatatkan penurunan di bawah paras 500 sejak 30 Ogos lalu,” katanya.
Berita Yang Berkaitan
Sementara itu, Noor Hisham mengesahkan kluster baharu hari ini merekodkan hanya enam kluster dan daripada jumlah itu, tiga masing-masing merupakan kluster komuniti dan tempat kerja.
“Lokaliti yang terlibat bagi kluster komuniti adalah di Kampung Pos Kelang, Raub, Pahang; Taman Desa, Kelantan dan Parit Bengkok Tangkak di Johor.
“Bagi kluter tempat kerja pula adalah diSawit Bera Selatan, Pahang; Bukit Pasir Muar, Johor dan Jalan Seneng di Kelantan.
“Jumlah keseluruhan kluster yang direkodkan setakat ini adalah 5,507 namun jumlah yang ditamatkan ialah 4,499 dan kini yang aktif sebanyak 1,008,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH