Hanya satu kawasan dikenakan PKPD hari ini
3 OKT : Hanya satu kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Kampung Orang Asli Sungai Kelang, Mukim Batu Talam, Raub, Pahang.
Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad PKPD itu dilaksanakan selama 14 hari mulai esok hingga 17 Oktober.
PKPD di lokaliti itu dibuat menurut Rodzi selepas pihaknya meneliti pembentangan situasi di kawasan itu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Setelah meneliti pembentangan KKM, mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, PKPD akan dilaksanakan di lokaliti ini dan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MKN juga bersetuju menamatkan PKPD di lokaliti Taman Pantai Lok Kawi, Papar, Sabah, esok selepas meneliti perkembangan semasa di kawasan berkenaan oleh KKM.